Sindiket palsukan keputusan RTK babit klinik swasta, JKN Melaka lapor polis

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MERLIMAU 13 Dis – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka akan membuat laporan polis berhubung aduan sindiket memalsukan keputusan ujian saringan COVID-19 membabitkan sebuah klinik swasta di negeri ini.

Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, laporan itu dibuat selepas pihaknya memperoleh bukti untuk membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima enam aduan berhubung salah laku tersebut dan akan meneruskan siasatan lanjut bagi memastikan kes sama tidak lagi berulang.

“Kita telah menerima beberapa aduan melibatkan sebuah klinik swasta yang telah memalsukan keputusan RTK daripada positif kepada negatif.

“Walaupun kes ini terpencil dan hanya melibatkan lima atau enam aduan, namun ia satu kes yang amat serius dan kita tidak boleh bertolak ansur kerana ia melibatkan keselamatan pesakit dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Japerun Merlimau, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, perbuatan itu terbongkar apabila pihaknya menerima seorang pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka selepas kesihatannya merosot.

Hasil siasatan mendapati pesakit mengakui berpakat dengan doktor di sebuah klinik swasta untuk memalsukan keputusan daripada positif kepada negatif menyebabkan dia tidak mendapat rawatan di peringkat awal.

“Selain itu, kita juga mengesan beberapa laporan mencurigakan menerusi sistem SIMKA iaitu sistem yang digunakan klinik swasta untuk melaporkan keputusan ujian kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jadi, dalam sistem itu kita ada mengesan beberapa keputusan yang ditukarkan daripada positif kepada negatif jadi ia sesuatu yang pelik dan kita akan melakukan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal meminta semua petugas dan doktor klinik swasta agar mengamalkan integriti selari dengan angkat sumpah yang telah dilakukan petugas kesihatan.

“Saya percaya kredibiliti doktor-doktor swasta di Melaka, tetapi apabila melibatkan salah laku integriti atau ketidakjujuran saya mohon agar elakkanlah demi keselamatan semua,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

784
Kongsi :
Previous post Pindaan Akta 342: Syarikat langgar SOP boleh dikompaun sehingga RM1 juta – Khairy
Next post Guru tadika rugi RM4,200 terpedaya tawaran jadi isteri ‘menteri’
Ubah saiz-+=