Sindiket seleweng 31.5 tan minyak masak bersubsidi tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KRUBONG 12 Okt – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi hasil serbuan di sebuah gudang dua tingkat di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, semalam.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, hasil serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, pihaknya menemui 31.5 tan minyak masak bersubsidi yang ditempatkan di dalam 36 unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter setiap satu.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi hampir dua bulan dengan mendapatkan bekalan minyak masak peket sekilogram bersubsidi daripada beberapa pemborong berlesen sekitar Lembah Klang.

Katanya, minyak masak itu kemudiannya akan dilerai dan dikumpul di dalam tangki fiber sebelum dijual dengan harga yang lebih mahal (bukan bersubsidi).

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan lapan pekerja asing warganegara Myanmar dan Thailand berusia 18 hingga 45 tahun untuk membantu siasatan.

“Kesemua mereka direman selama empat hari bermula hari ini dan KPDNHEP masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan kepala sindiket atau pihak lain yang terlibat dalam rantaian ini.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM87,300,” katanya dalam sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Melaka, di sini, hari ini.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan minyak masak yang melibatkan urusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan RM3 juta bagi syarikat.

Justeru, beliau memberikan amaran tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan ketirisan wang subsidi kerajaan bahkan boleh menyebabkan berlakunya gangguan bekalan.

“Tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan kita tidak menolak untuk melakukan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001.

“Orang awam turut diminta memberikan kerjasama dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi ini dengan menyalurkan maklumat atau aduan secara terus kepada KPDHEP,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1727
Kongsi :
Previous post Majlis Presiden PH tolak Sulaiman KM Caretaker
Next post Polis rampas kereta rasmi kerajaan negeri disimpan Norhizam- KP
Ubah saiz-+=