Polis rampas kereta rasmi kerajaan negeri disimpan Norhizam- KP

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

BUKIT BERUANG 13 Okt. Polis merampas kereta rasmi Kerajaan Negeri Melaka daripada Datuk Norhizam Hassan Baktee semalam, kata Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali .

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas bekas Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu didapati gagal memulangkan kereta Toyota Camry, nombor pendaftaran MAL 3 berwarna hitam.

Abdul Majid berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) mengenai kenderaan rasmi itu yang tidak dipulangkan oleh Norhizam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali.

“Siasatan awal mendapati satu surat arahan untuk memulangkan kenderaan tersebut dikeluarkan oleh ketua penolong setiausaha kanan kerajaan negeri pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegawai khas Norhizam.

“Ekoran laporan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

“Setakat ini seramai lima saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes terdiri daripada kakitangan pejabat SKN.

“Pihak polis juga akan memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan dalam kes ini termasuk Norhizam,” katanya pada sidang media di IPK sebentar tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1998
Kongsi :
Previous post Sindiket seleweng 31.5 tan minyak masak bersubsidi tumpas
Next post SPRM tahan bekas penyelaras DUN era PH
Ubah saiz-+=