Majlis Presiden PH tolak Sulaiman KM Caretaker

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 12 Okt – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak pelantikan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Caretaker meskipun perkara itu dijelaskan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Dalam kenyataan hari ini majlis berkenaan berkata, pihaknya meneliti kenyataan SUK semalam mengenai penamaan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka bagi memimpin kerajaan sementara negeri ini.

Katanya, dalam kenyataan itu, SUK mengakui Perlembagaan Negeri tidak memperuntukkan fungsi dan peranan Kerajaan Caretaker sekali gus merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel.

“Penting ditegaskan bahawa PH menolak pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri) sebagai tidak berperlembagaan taktala negeri Melaka masih menghadapi wabak COVID-19 dan adanya gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Oleh demikian PH menolak penamaan Sulaiman selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka kerana beliau telah jelas hilang sokongan majoriti ADUN sebelum DUN negeri dibubarkan serta tidak lagi mampu mengetuai Kerajaan Negeri Melaka,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, perbincangan antara SUK dan blok majoriti yang diketuai Adly Zahari bersama Datuk Seri Utama Idris Haron dan blok minoriti diketuai Sulaiman perlu diadakan terlebih dahulu sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan itu.

“Malah, seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahu pun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan PH mengekalkan pendirian untuk menolak PRN diadakan pada waktu ini bagi mengelak gelombang keempat penularan wabak.

Jelas kenyataan itu, darurat juga tidak sesuai diadakan berikutan perkara itu akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur dalam usaha meningkatkan semula sektor ekonomi di negeri ini.

“Oleh itu, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk kerajaan ‘caretaker’ diwakili oleh golongan majoriti ADUN-ADUN,” katanya.

Kenyataan media secara bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post Melaka Sentral terima tempahan tiket dua kali ganda
Next post Sindiket seleweng 31.5 tan minyak masak bersubsidi tumpas
Ubah saiz-+=