Sisa nanas ‘bonus’ lumayan kepada pekebun – LPNM

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

JASIN 26 April – Sisa tanaman nanas menggunakan konsep ‘sekali tanam, tiga kali tuai’ mampu memberi pulangan 30 peratus daripada hasil pendapatan kepada setiap pekebun.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, satu ekar tanaman nanas boleh menghasilkan lebih 51 tan sisa.

“Manakala bagi perkiraan kasar pula, satu tan sisa nanas boleh dijual pada kadar sehingga RM500 setiap tan.

“Bagi kitaran lengkap satu ekar (0.40 hektar) tanaman nanas adalah selama 14 bulan sebelum dituai, dijual dan dikira hasil sisa nanas berkenaan.

“Sisa nanas ini memberi penambahan pendapatan sedia ada sebanyak 30 peratus kepada setiap pekebun yang dikira sebagai bonus khas kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pengumpulan Nanas di Pusat Koreksional Jasin di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Pusat Koreksional Jasin, Mohd Idlan Jamil.

Katanya, perhatian perlu diberikan kepada tanaman nanas yang ketika ini mendapat permintaan amat tinggi bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

“Sebagai contoh, kita (Malaysia) hanya mampu membekalkan sebanyak 800 kontena nanas kepada negara luar yang mana permintaan sebenar adalah 4,000 kontena.

“Antara pasaran eksport nanas keluaran tempatan adalah China, Singapura, Jepun, Jerman dan negara di Timur Tengah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

90
Kongsi :
Previous post Penyelesaian masalah banjir jadi keutamaan Zahari
Next post Pemilik stesen minyak didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing
Ubah saiz-+=