Penyelesaian masalah banjir jadi keutamaan Zahari

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 April – Masalah banjir yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal menjadi keutamaan bagi Zahari Abd Kalil.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal berkata, fokus perlu diberikan memandangkan isu yang berlaku itu sudah menjadi acara tahunan setiap kali musim hujan atau tatkala kawasan berkenaan menerima taburan hujan yang tinggi.

Katanya, sebelum ini masalah banjir kerap berlaku di kawasan berhampiran sungai, namun kini ia beralih kepada kawasan lebih jauh disebabkan isu saliran dan perparitan.

“Apabila sungai dilebarkan alhamdulillah, jumlah penduduk terkesan semakin berkurangan, tapi kali ini ia beralih pula kepada kawasan lebih jauh dari sungai disebabkan isu perparitan dan sebagainya.

“Jadi, sewaktu perjumpaan bersama Setiausaha Politik kanan Perdana Menteri, baru-baru ini, saya telah bawakan isu ini dan saya memilih masalah banjir sebagai keutamaan untuk diselesaikan.

“Antara cadangan bagi jangka masa pendek ialah membina sebuah lagi kolam takungan di kawasan Taman Murai Jaya di sebuah tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan air-air dari Bukit Tambun disalurkan ke kolam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Kompleks Japerun Durian Tunggal, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Zahari yang juga Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, pihaknya juga telah mengesan beberapa faktor lain yang menjadi penyebab banjir di Durian Tunggal.

Beliau memaklumkan antara yang dikesan ialah terdapat kolam tadahan di kawasan perumahan baharu tidak berfungsi dengan baik.

“Seperti sebuah perumahan di Bukit Tambun kolam tadahannya kering seolah-olah tidak berfungsi dengan baik. Ia jauh berbeza dengan kolam tadahan yang terdapat di One Krubong yang bukan sahaja menjadi kolam tadahan bahkan seperti tasik untuk riadah.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya kolam tadahan yang berfungsi dengan baik dalam mengurangkan risiko banjir di sesuatu kawasan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post Persembahan pembukaan Panggung Bangsawan tawan hati pengunjung
Next post Sisa nanas ‘bonus’ lumayan kepada pekebun – LPNM
Ubah saiz-+=