Sistem amaran banjir beroperasi seluruh negara tahun depan
Beliau berkata sistem itu memberikan amaran dengan membunyikan siren seawal dua hari sebelum banjir berlaku, selain ramalan banjir tujuh hari sebelum ia dijangka berlaku.
“Setakat ini sistem ini digunakan di lembangan sungai di Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan 95 peratus.
“Tahun depan ia akan melibatkan lembangan sungai di Sungai Klang dan Sungai Langat. Ketika ini di Pulau Pinang, Kedah dan negeri utara lain sedang berada dalam fasa uji kaji,” katanya selepas melawat PRABN di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meluangkan masa kira-kira sejam melawat PRABN dan mendengar taklimat mengenai situasi semasa aras sungai di Malaysia.
Lawatan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Mansor Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Dr Md Nasir Md Noh.
Dalam pada itu, Zaini berkata sejumlah 120 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negara yang memaparkan situasi masa sebenar banjir kepada umum akan turut beroperasi tahun hadapan.
CCTV itu diletakkan di stesen pemantauan aras air sungai yang terletak di lembangan sungai yang terlibat. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.