Sistem perparitan kecil, tidak lurus punca banjir di Kampung Seri Tanjung

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

LENDU 24 Nov – Keadaan sistem perparitan yang tidak sempurna menjadi punca utama banjir kilat berlaku di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah hampir saban tahun lalu.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, dilema terbabit merunsingkan penduduk di kawasan itu biarpun tidak kurang satu kilometer terletaknya kolam tebatan banjir telah dibina.

Keadaan itu turut mengakibatkan masjid dan beberapa kediaman di Taman Masjid Tanah Ria yang terletak bersebelahan kampung terbabit turut dinaiki air.

MOHD Yusof

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) kawasan terbabit, Mohd Yusof Saleh berkata, sistem perparitan yang membengkok dan tidak lurus menjadi punca utama saliran anak sungai terganggu mengkibatkan beberapa kediaman dinaiki air tatkala hujan berlarutan berlaku.

Menurutnya, keadaan anak sungai yang kecil dan bercabang ditambah pula dengan limpahan sisa tumbuhan hasil pertanian menjadi punca utama permasalahan itu.

“Keadaan sistem aliran di kawasan ini hendaklah di selenggara sewajarnya terutama ia perlu diluruskan bagi memastikan air sungai mengalir dengan sempurna.

“Perkara ini disebabkan aliran anak sungai yang membengkok mengakibatkan aliran deras itu terus naik ke atas daratan dan membuatkan beberapa kediaman dan masjid dinaiki air.

“Sistem tebatan telah pun dibina bagaimanapun saliran yang menghubungkannya perlu diluruskan termasuk penyelenggaraan dengan mendalam dan melebarkan sungai bagi memastikan keadaan ini dapat diatasi,” katanya.

Pada masa sama, seorang penduduk yang menetap di taman perumahan terbabit, Muhammad Shafiq Aiman Shamzuri,24, berkata, kawasan terbabit seringk kali dinaiki air tatkala hujan berlarutan berlaku sejak 2014.

MUHAMMAD Syafiq

Katanya, senario berkenaan kadangkala mengakibatkan kediaman di sekitar kawasan itu dinaiki air hampir separas peha telah menjejaskan penduduk perumahan berkenaan.

“Banjir kilat yang berlaku ini berpunca dari hujan lebat berlaku pada jam 12 tengah hari tadi dan ia telah berhenti seketika.

“Bagaimanapun hujan renyai telah berlaku semula sejurus selepas itu dan berlarutan sehingga jam 6.30 petang tadi.

“Perkara itu telah membuatkan kediaman kami dinaiki air separas buku lali namun kami bersyukur dengan keadaan ini disebabkan ia dilihat terkawal.

“Kemudian kawasan ini telah dinaiki air sejurus hujan berhenti bagaimanapun keadaan air semakin surut sekitar jam 8.30 malam tadi.

“Apa pun kami berharap agar ada tindakan segera diambil bagi memastikan sistem aliran sungai di kawasan ini dibaik pulih agar ia tidak berlarutan pada masa akan datang,” katanya

Views:

1086
Kongsi :
Previous post Dua beranak positif COVID-19
Next post Jawatankuasa selesaikan isu banjir akan ditubuhkan
Ubah saiz-+=