SJKC Malim kembali beroperasi esok

Masa Membaca:58 Saat

MALIM 16 Ogos – Seramai 830 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, dijangka memulakan semula sesi persekolahan pada Isnin selepas sebahagian struktur bangunannya rosak akibat dilanda ribut.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Karim Tumin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira saranan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata, pihaknya bersama agensi terlibat masih melakukan kerja-kerja penilaian dan ujian keselamatan terutama pada bahagian elektrikal di sekolah berkenaan.

“Hasil perbincangan dengan JKR dan Bomba, kita mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan sementara sekolah dan sesi persekolahan hanya akan dimulakan pada Isnin.

“Pada Jumaat (14 Ogos) kita pergi ke sekolah semula membuat penilaian setiap kerosakan terutamanya pada bahagian elektrikal untuk memastikan ia selamat digunakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun sesi persekolahan itu terpaksa dibahagikan kepada dua sesi memandangkan bilik darjah tidak mencukupi.

“Hasil perbincangan murid darjah satu, dua dan tiga akan bersekolah pada sesi petang manakala darjah empat, lima dan enam sesi pagi,” katanya.

Pada Selasa lalu, seramai 22 murid di sekolah itu mengalami cedera ringan selepas beberapa struktur bumbung roboh akibat dilanda ribut.

Ekoran daripada kejadian itu, sekolah diarahkan ditutup dua hari bagi kerja-kerja pemulihan sekolah.

Views:

437
Kongsi :
Previous post MBMB naik taraf lima lintasan pejalan kaki
Next post JPKK perlu main peranan semarak bulan kemerdekaan di kampung
Ubah saiz-+=