JPKK perlu main peranan semarak bulan kemerdekaan di kampung

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SUNGAI UDANG 16 Ogos – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) disaran untuk mengibarkan jalur gemilang di kampung-kampung sebagai usaha menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-63.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, usaha itu perlu dilakukan sepanjang bulan ini dan dilanjutkan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

Ujarnya, meski pun negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19, namun usaha menghangatkan sambutan kemerdekaan tidak boleh luntur bagi menghargai usaha pejuang-pejuang membebaskan Malaysia dari cengkaman penjajah.

“Saya minta JPKK supaya mulakan semangat menyambut kemerdekaan dan menunjukkan tanda kesyukuran dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan masing-masing.

“Ini sangat penting bagi memastikan semangat kemerdekaan itu dirasai segenap lapisan masyarakat.

“Tidak bermaksud bila adanya Covid-19 kita tak boleh sambut merdeka. Sepatutnya bila terjadi pandemik seperti ini kita lebih kuat kerana Covid-19 itu sendiri secara konseptualnya ialah satu bentuk penjajahan yang perlu dibebaskan kita secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Merdeka @ Komuniti bersama kira-kira 300 warga Sungai Udang di Kompleks Japerun Sungai Udang, sebentar tadi.

Dalam majlis tersebut, Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil kampung di bawah kawasan pentadbirannya itu.

Selain itu, dikesempatan sama, beliau juga telah menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada sidang-sidang di DUN Sungai Udang untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan tersebut.

Views:

436
Kongsi :
Previous post SJKC Malim kembali beroperasi esok
Next post Program Merdeka @ Komuniti meriah
Ubah saiz-+=