SK Merlimau 2 hebat di pentas dondang sayang

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDA HILIR 26 November – Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau 2 menyapu bersih dua anugerah pada Pertandingan Dondang Sayang Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.

Kemenangan yang diraih kumpulan Seri Gemalai yang dinobat pemenang Persembahan Terbaik Keseluruhan selain johan bagi kategori sekolah rendah. 

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka membawa pulang RM2,000, plak dan sijil penyertaan bagi johan sekolah rendah, selain RM1,000, plak dan sijil penyertaan bagi anugerah persembahan terbaik.

Bagi kategori sekolah rendah, naib johan dirangkul Cilik Arts Talent Production dan diikuti kumpulan Tunas Tari Warisan, The Juniors dan Kelab Tari Permata di tempat ketiga, keempat dan kelima.

Johan bagi kategori sekolah menengah pula menjadi milik Remaja Arts Talent Production yang menewaskan Seni Tari Warisan dan SMAAT Citra Tari di tempat kedua dan ketiga.

Arts Talent Production sekali lagi dinobat johan dalam kategori terbuka dengan menewaskan Lantera Seni di tempat kedua dan Sencetra di tempat ketiga.

Hadiah kemenangan disampaikan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan pada majlis perasmian penutup yang diadakan di perkarangan Muzium Rakyat, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis penutup itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni  dan Budaya (MOTAC) Melaka, Yeow Chin Chai; Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias dan Pengurus Besar INSWA, Abdul Malek Bador.

Pertandingan yang diadakan selama tiga hari bermula 24 November lalu disertai seramai 279 peserta daripada 30 kumpulan pelbagai kategori membabitkan kategori sekolah menengah, sekolah rendah dan penyertaan Terbuka daripada serata negeri termasuk Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor.

Pada pertandingan peringkat akhir semalam, kesemua pasukan yang layak masing-masing berbusana tradisional Melayu bagi berentap dalam kategori nyanyian dan tarian.

Program berkenaan dianjurkan Institut Warisan Melaka (INSWA) dengan kerjasama Melaka World Heritage Sdn. Bhd.; Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3189
Kongsi :
Previous post 70 acara kebangsaan dan antarabangsa warnai TMM2024
Next post Melaka bentang Bajet 2024 hari ini
Ubah saiz-+=