DUN Tanjung Bidara: Skuad Sukarelawan Pantai pulihara kebersihan pantai peranginan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Jun – EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan menubuhkan Skuad Sukarelawan Pantai (SSP) bagi membantu memulihara kebersihan sepanjang pantai peranginan dari Tanjung Bidara hingga Pengkalan Balak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, skuad berkenaan akan dianggotai remaja, terutama penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Katanya anggota skuad berkenaan akan melakukan rondaan di sepanjang dua kilometer pantai berkenaan untuk memungut sampah selain mendidik komuniti tempatan dan pengujung untuk bersama-sama menjaga kebersihan.

“Mereka akan bekerjasama dengan pegawai dan kakitangan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) untuk membersihkan pantai daripada sisa kotoran seperti botol, plastik, sisa dan pembungkus makanan.

“Setakat ini nampaknya belum ada dalam kalangan anggota masyarakat kita berani menegur pengunjung yang membuang sampah merata-rata di tepi pantai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar di sebuah resort di pantai peranginan Padang Kemunting, dekat sini hari ini.

Program dirasmikan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan itu turut dihadiri, Timbalan Ketua Pegawai EKsekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ir Zulkifli Tamby Chik dan Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

Katanya, kekerapan jadual rondaan sama ada secara mingguan atau bulanan itu masih di peringkat perbincangan dan belum lagi diputuskan pihaknya.

Ab Rauf berkata, kebersihan pantai berkenaan perlu sentiasa dijaga kerana menjadi pilihan utama pelancong tempatan dan luar Melaka.

Jelasnya, keprihatinan anggota masyarakat untuk menegur sesiapa sahaja yang membuang sampah merata-rata penting bagi menjamin kebersihan pantai peranginan itu.

Sehubungan itu beliau meminta SWCorp memastikan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan pungutan sisa pepejal di sepanjang pantai itu, SWM Environment Sdn Bhd menyediakan tong yang mencukupi.

“Apa yang lebih penting ialah anggota komuniti dan pengunjung harus memiliki jati diri untuk bersama-sama menjaga kebersihan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1429
Kongsi :
Previous post Penternak ayam disaran guna kaedah reban tertutup
Next post Lahirkan graduan isi profesion pertahanan, keselamatan perlu diteruskan – Agong
Ubah saiz-+=