Lahirkan graduan isi profesion pertahanan, keselamatan perlu diteruskan – Agong

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, negara perlu terus berusaha melahirkan graduan anak tempatan untuk mengisi profesion bernilai tinggi dalam bidang strategi pertahanan dan keselamatan yang semakin dinamik.

Justeru titah baginda pihak berkenaan, seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu terus meneroka bidang ilmu terbaharu, bagi menentukan negara sentiasa mempunyai barisan pemikir dan sarjana, yang berupaya merangka pelan jangka panjang bagi melindungi kepentingan strategik negara.

“Semua rakan strategik UPNM, khususnya Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan industri pertahanan, untuk terus mengukuhkan sinergi yang telah terbentuk erat demi menjulang UPNM ke tahap yang tinggi,” titah Seri Paduka sempena Istiadat Konvokesyen ke-11, sidang pertama, UPNM di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dan Naib Canselor UPNM Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut bertitah mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta, hendaklah diterapkan dengan semangat bantu membantu dan saling sayang menyayangi merentasi batas kaum dan agama.

“Semangat seperti ini wajar disuburkan dalam usaha membentuk sebuah masyarakat penyayang dan bersatu-padu, bagi mewujudkan sebuah bangsa yang cemerlang,” titah Al-Sultan Abdullah.

Pada konvokesyen kali ini, sejumlah 2,229 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian bagi tahun 2020 dan 2021.

Mereka termasuk 32 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 118 dianugerah Ijazah Sarjana, 1,518 (Sarjana Muda) dan 561 (Diploma).

UPNM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada tiga tokoh pertahanan negara.

Mereka ialah Pro-Canselor UPNM yang juga Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-13 Laksamana (Bersara) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, dalam bidang Teknologi Maritim.

Turut menerima anugerah itu ialah PAT ke-14, Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul Aziz Zainal dalam bidang Strategik dan Hubungan Antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim pula menerima anugerah tersebut dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik.

Istiadat kali ini turut menganugerahkan Hadiah Akademik 2020 dan 2021 kepada 83 graduan Ijazah Sarjana Muda.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post Skuad Sukarelawan Pantai pulihara kebersihan pantai peranginan
Next post Karnival kerjaya turut tawar peluang untuk OKU
Ubah saiz-+=