Karnival kerjaya turut tawar peluang untuk OKU
AYER KEROH 18 Jun – Penganjuran Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans turut membuka peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan pekerjaan, sekali gus hidup berdikari.
Mohd Nor Azizi Che Pa, 32, berasal dari Perlis berazam untuk mencari pekerjaan selepas beberapa tahun tidak bekerja berikutan kaki kanannya dari paras lutut kebawah dipotong akibat terbabit kemalangan.
Dia yang sedang menjalani proses rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO, bercadang mencari pekerjaan dalam bidang perhotelan.
“Sebelum terbabit kemalangan saya bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun dengan keadaan sekarang saya cuba mencari pekerjaan yang bersesuaian.
“Kini selepas dua tahun kaki dipotong saya perlu mencabar diri untuk kembali bekerja tetapi dalam bidang perhotelan kerana skop kerja yang tidak terlalu berat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran karnival itu di MITC, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Katanya, sekiranya diterima bekerja dia akan terus menetap di Melaka meskipun proses rehabilitasinya sudah selesai.
Sementara itu, bagi seorang lagi pencari kerja, Salman Farisi Sazali, 23, berkata, dia tidak menyangka hasratnya untuk mencuba nasib akhirnya membawa berita gembira apabila diterima bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam.
“Sekarang ini saya bekerja di sebuah kedai serbaneka tetapi ingin cuba bidang lain bagi mencabar kemampuan diri dan tidak sangka diterima.
“Terkejut juga, selepas temuduga tadi diberitahu saya berjaya dan dijadualkan akan mula bertugas awal Julai nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.