Penternak ayam disaran guna kaedah reban tertutup

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TABOH NANING 18 Jun – Penternak dan pemilik ladang ternakan ayam di negara ini disarankan untuk menggunakan keadah reban tertutup bagi menghasilkan pengeluaran ayam yang lebih berkualiti.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, inovasi yang dijalankan itu mampu meningkatkan mutu kebersihan ladang daripada masalah bau dan lalat.

“Kita mahu semua penternak mengaplikasikan kaedah ini, tapi kita faham kos operasi dan membinanya bukan murah.

“Namun setakat ini kerajaan sedang meneliti pelbagai aspek yang melibatkan kos operasi daripada awal penternakan sehinggalah proses tuaian.

“Kerajaan serius menjadikan industri penternakan ayam lebih kompetitif yang mana ia bukan sahaja bagi keperluan tempatan malah untuk pasaran eksport yang perlu kita imbangkan bagi menjana ekonomi negara,” katanya.

KAEDAH ternakan tertutup digunakan ladang terbabit sejak 2011 mampu menghasilkan lebih 10 juta ekor ayam bagi keperluan negara dan eksport ke Singapura

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kilang Ternakan Ayam Leong Hup, di Taboh Naning, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Noorlizan Md Nor serta tetamu lain.

TETAMU diberikan taklimat oleh kakitangan ladang berkaitan inovasi menekankan aspek kebersihan dan kualiti ayam yang dihasilkan

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM500 juta setahun hasil eksport ayam ke luar negara yang dianggap penting dalam membantu negara menjana pendapatan.

“Maka sebab itulah kita mendengar rintihan dan keluhan daripada persatuan serta wakil penternak ayam di negara ini untuk membenarkan semula eksport sebelum ini dimansuhkan kerajaan.

“Biarpun setakat ini hanya eksport pembenihan ayam dimansuhkan kerajaan kita memberi jaminan stok bekalan ayam menjelang awal hingga akhir bulan ini akan kembali normal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2910
Kongsi :
Previous post Potensi ekspo pendidikan skala besar pada tahun akan datang
Next post Skuad Sukarelawan Pantai pulihara kebersihan pantai peranginan
Ubah saiz-+=