Sorting by

×

Potensi ekspo pendidikan skala besar pada tahun akan datang

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Penganjuran Melaka Education Expo pada siri akan datang bakal diadakan dalam skala lebih besar dengan peningkatan jumlah pempamer dan menawarkan lebih banyak kursus pengajian di pelbagai peringkat.

Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley yang juga penganjur ekspo berkenaan berkata, Melaka adalah destinasi strategik dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan.

Sehubungan itu, pihaknya komited untuk menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan tersohor dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran.

“Kita akan kumpul lebih banyak program khusus yang istimewa kepada pelajar lepasan sekolah, bukan hanya tempatan malah pelajar daripada luar negara kerana apabila saya berada di luar negara seperti Jepun, China dan Hong Kong, mereka tahu mengenai Melaka.

“Menjadi hasrat kerajaan negeri mewujudkan stesen EV (kenderaan elektrik) jadi kita boleh tawarkan kursus kemahiran dari Jerman dalam bidang berkenaan untuk menyokong dan merealisasikan perkara itu.

“Pada ekspo pendidikan akan datang, kita akan tampilkan kemahiran dan pendidikan dalam bidang fesyen, kecantikan dan kesihatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini (MHI), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid yang juga penganjur bersama ekspo terbabit.

Abdul Jalil berkata, pihaknya akan melaksanakan perancangan lebih awal untuk menarik pempamer dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta kolej swasta.

Katanya, ia membolehkan lebih banyak kursus dan program ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Antara maklum balas yang kita terima adalah ‘short notice’ (waktu singkat) berikutan mereka juga mempunyai komitmen dengan pameran lain,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, memandangkan ekspo terbabit adalah penganjuran pertama, pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran pengunjung namun mengharapkan graduan dapat mengambil peluang menerusi ekspo tersebut untuk memilih tawaran bersesuaian dengan kelayakan mereka.

Ekspo berkenaan diadakan selama tiga hari bermula semalam dan berakhir pada esok dengan penyertaan lebih 30 gerai pempaper daripada pelbagai IPT awam dan swasta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1045
Kongsi :
Previous post PERKESO sasar wujudkan 300,000 peluang pekerjaan tahun ini
Next post Penternak ayam disaran guna kaedah reban tertutup
Ubah saiz-+=