SMK Krubong akan beroperasi pada Jun

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PAYA RUMPUT 7 Mei – Bagi menampung kepadatan pelajar dan kekurangan bilik darjah di Paya Rumput, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong akan dibuka secara rasmi pada hujung Jun depan.

EXCO Pendidikan negeri Datuk Rais Yasin berkata, sekolah baharu itu dibina dengan kos berjumlah RM24 juta yang mampu menampung lebih 800 pelajar di kawasan berkenaan.

“Kita jangkakan akan membuka sekolah baharu iaitu SMK Krubong pada hujung bulan Jun nanti. Saringan pemilihan guru dan pelajar telah dilakukan.

“Kerajaan negeri sangat prihatin tentang isu pembangunan sekolah dan kita akan melihat keperluan dari semasa ke semasa, dalam memastikan anak-anak di negeri ini mendapat pendidikan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) di kediamannya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, kerajaan negeri juga bakal menyelesaikan isu kekurangan sekolah di kawasan lain di negeri ini bagi memastikan pelajar dapat menikmati proses pembelajaran lebih selesa.

Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti memerlukan sekolah baharu ialah di DUN Durian Tunggal yang kini hanya memiliki satu sekolah menengah.

“Di Durian Tunggal kita telah ambil maklum kerana isu kekurangan sekolah menengah itu telah dibawa di Sidang DUN tempoh hari.

“Cuma, ada beberapa masalah dari segi ambilan tanah, apapun kita akan selesaikan untuk memastikan sekolah baharu dapat dibina di kawasan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3185
Kongsi :
Previous post Sarung tangan mampu bunuh virus dilancarkan
Next post Jualan petrol meningkat 50 peratus sempena Aidilfitri
Ubah saiz-+=