Solat fardu dan solat Jumaat dibenarkan ikut kapasiti surau atau masjid

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 18 Feb. – Kerajaan Melaka membenarkan solat fardu dan solat Jumaat di semua surau dan masjid mengikut kapasiti ruang bangunan berkuatkuasa esok hingga 4 Mac.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dibuat hasil penyelarasan antara agensi agama termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Mufti negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Katanya, SOP terbaharu itu berkuatkuasa dalam prosedur operasi standard (SOP) terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa bermula esok hingga 4 Mac depan.

“Kita menetapkan jumlah jemaah bagi solat fardu dan solat Jumaat mengikut kapasiti surau dan masjid dengan penjarakan sosial satu meter.

“Aktiviti rutin seperti kuliah Subuh, solat Dhuha, kuliah Maghrib dan tazkirah Jumaat serta kelas pengajian Al-Quran juga dibenarkan dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti masjid,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas juga dibenarkan menghadiri aktiviti surau dan masjid dalam tempoh berkenaan.

“Bagaimanapun program pengimarahan atau majlis keagamaan berskala besar masih tidak dibenarkan dan jemputan penceramah hanya dibenarkan dari negeri ini sahaja.

“Bagi jemaah warganegara asing, mereka tidak dibenarkan menghadiri aktiviti surau dan masjid manakala jamuan makan hanya dibenarkan secara berbungkus,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim mengingatkan jemaah sentiasa mengamalkan kebersihan ketika menjalani ibadah di negeri termasuk sentiasa membasuh tangan ketika menghadiri program keagamaan.

Views:

603
Kongsi :
Previous post Boleh makan di kedai ikut saiz meja, lebih dua penumpang dalam satu kenderaan di kawasan PKP – Ismail Sabri
Next post COVID-19 : Melaka kekal dua angka 
Ubah saiz-+=