Stadium Nasional: KBS hargai penajaan TMJ, belum ada hitam putih

Share and Enjoy !

Shares

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menghargai hasrat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor, @HRHJohorII atas kurniaan penajaan penanaman rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil,” menurut ciapan di Twitternya.

Semalam, Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers bertitah mahu menanggung kos pertukaran rumput ‘Cow Grass’ ke jenis ‘Zeon Zoysia’, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri, sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.

“Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), bagi memastikan Stadium Nasional, mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa,” titah baginda.

JDT kemudian menerusi kemas kini di media sosial berkata, Tunku Ismail telah pun menandatangani cek untuk kerja pertukaran padang itu dengan pemeriksaan di Stadium Nasional akan dilakukan pada 19 Mac (Sabtu), sebelum meneruskan persiapan terakhir dengan PSM.

Pada Mac tahun lepas, dilaporkan kerja-kerja menggantikan rumput dengan kos RM10 juta dijangka siap dalam masa tiga bulan (Jun 2021), yang turut merangkumi penyelenggaraan padang, sistem pengudaraan, sistem saliran, pencahayaan buatan serta latihan kepada penyelia rumput.

Namun, projek berkenaan masih belum bermula walaupun kerajaan telah meluluskan bajet, manakala stadium itu juga telah digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 21 Jun lepas.

Sementara itu, menurut sumber daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sehingga ini masih belum ada apa-apa hitam putih antara kementerian itu dan TMJ, setakat tengah hari Jumaat (11 Mac).

Turut difahamkan bahawa PSM juga belum memutuskan jenis rumput bakal digunakan, kerana menunggu laporan daripada sebuah universiti tempatan mengenai jenis rumput paling sesuai bagi stadium itu.

“Badan Lembaga PSM akan membuat keputusan mengenai jenis rumput paling sesuai berdasarkan kepada bukti saintifik didapati daripada pakar runding. PSM dan KBS tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, tetapi berdasarkan kepada laporan saintifik bagi mengelakkan berlakunya isu berkaitan rumput di stadium tersebut.

“Terdapat pandangan berbeza berkaitan ‘Cow Grass’, ada yang suka dan ada yang tidak. Kami juga perlu melihat kepada pelbagai aspek, termasuklah tujuan penggunaan stadium, jika ia terhad kepada bola sepak, ia akan memberi kesan kepada pendapatan PSM,” kata sumber itu.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon bakal mengadakan latihan selama lapan hari bermula 14 Mac (Isnin), untuk menghadapi Siri Tiga-Negara FAS 2022 berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura (26 Mac).

Pasukan kebangsaan itu juga akan beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bertemu pasukan ranking ke-134 dunia Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti aksi menentang Bahrain (89) pada 11 Jun dan Bangladesh (186) pada 14 Jun.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2

Share and Enjoy !

Shares
Previous post KKM nafi keluar arahan sedia saluran mengundi bagi kes positif COVID-19
Next post Isu sotong ring masih disiasat, tindakan tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan – Idris