Subsidi minyak diteruskan di bawah agenda PEMERKASA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR 19 Mac. – Agenda keterangkuman dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) turut meliputi langkah penerusan subsidi termasuk minyak bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tindakan awal itu diambil selepas kerajaan mendengar kebimbangan rakyat mengenai kemungkinan peningkatan harga barang susulan kenaikan harga minyak dunia.

“Pada 10 Februari 2021, kerajaan bersetuju bahawa had harga siling produk petrol RON95 dan diesel ditetapkan bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak ketara apabila harga sebenar di pasaran global meningkat.

“Harga runcit semasa petrol RON95 dihadkan pada paras siling RM2.05 seliter manakala harga runcit semasa diesel akan dihadkan pada paras siling RM2.15 seliter,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-45 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Malah, Tengku Zafrul menjelaskan, paras harga siling petrol RON95 dan diesel tersebut adalah lebih rendah berbanding had harga dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu diambil sejajar dengan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang kian meningkat susulan pertambahan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.

“Belanjawan 2021 disediakan berdasarkan unjuran harga minyak dunia pada US$42 setong dan jangkaan harga runcit petrol dan diesel akan kekal diapungkan.

“Mengambil kira harga minyak dunia semasa (US$70) dan penetapan harga siling petrol dan diesel, dianggarkan keperluan subsidi petrol dan diesel meningkat kepada RM3 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.

Kerajaan juga mengambil langkah bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post Kes COVID-19 Melaka kembali meningkat
Next post Of Nutmegs and Cloves: European Pirates in the Archipelago
Ubah saiz-+=