Sulaiman terima nasihat TMJ, janji usahakan isu MUFC

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 12 Jan – “Insyallah patik akan usahakan perkara ini sebaik mungkin,” itu kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berhubung isu gaji Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) yang sedang hangat diperkatakan.

Kata-kata itu dizahirkan Sulaiman ketika membalas nasihat Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi aplikasi Whatsapp.

Menerusi tangkap layar yang dimuat naik di Instagram, Tunku Ismail yang juga Penaung Persatuan Pemain-pemain Profesional Malaysia (PFAM) menasihati Sulaiman supaya menyegerakan isu yang berlaku membabitkan skuad Hang Tuah.

“Datuk, pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk imej integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan pemain.

“Tolong selesaikan isu ini Datuk,” tulis Tunku Ismail yang juga Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi tangkap layar yang dipercayai dikongiskan di laman sosial miliknya.

TANGKAP layar perbualan Tunku Ismail dan Sulaiman yang dikongsikan di Instagram HRH Crown Prince of Johor.

Dalam perbualan itu, Sulaiman yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) membalas akan berusaha menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan itu.

Semalam, media melaporkan Pengurusan MUFC memberi jaminan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai MUFC bagi musim 2021 akan diselesaikan dalam masa terdekat.

MUFC dalam kenyataan berkata, kelewatan berlaku disebabkan kelab itu kini dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangannya.

“Pihak pengurusan kelab memberi jaminan untuk menyelesaikan semua tunggakan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan MUFC bagi tahun 2022 berjalan lancar,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1052
Kongsi :
Previous post Polis pergiat operasi, pantau jualan sijil vaksinasi palsu – KPN
Next post Kerepek pisang sumber rezeki ibu tunggal dirosakkan monyet
Ubah saiz-+=