Sorting by

×

Sultan Perak berkenan dapatkan pandangan sebelum tetapkan garis panduan aktiviti Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA KANGSAR, 15 Mac – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah baginda akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkaitan sebelum menetapkan garis panduan mengenai aktiviti serta amal ibadah di bulan Ramadan.

Baginda bertitah ia perlu dilakukan sebelum garis panduan dan nasihat tersebut dikeluarkan kepada institusi agama Islam, masjid dan surau di negeri ini.

“Memandangkan agama Islam dan institusi yang mengendalikan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah, Orang-orang Besar Negeri terutama Orang Besar Jajahan perlu berperanan aktif membantu memantau aktiviti-aktiviti yang berlangsung di masjid dan memberikan nasihat bimbingan yang sewajarnya untuk meminimumkan risiko jangkitan,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-170 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin bertitah sudah dua tahun umat Islam tidak berpeluang merayakan Aidilfitri bersama anggota keluarga dan sanak saudara dan menjadi hasrat serta harapan baginda agar pada tahun ini, keriangan menyambutnya dalam suasana meriah dapat dikembalikan.

“Untuk itu, rakyat, terutamanya umat Islam perlu berhati-hati. Jangan nanti, aktiviti-aktiviti dalam bulan Ramadan yang mengalpakan amalan kesihatan dan mengetepikan langkah-langkah preventif menjadi penyebab untuk tidak membolehkan Aidilfitri dapat disambut dalam suasana riang dan ceria,” titah baginda.

Mengenai pengumuman kerajaan berkaitan fasa peralihan ke endemik 1 April ini, Sultan Nazrin mengingatkan rakyat bahawa kelonggaran pergerakan yang diberikan tidak bermakna ancaman wabak COVID-19 sudah pun berakhir.

“Kelonggaran diberikan membolehkan manusia bergerak dan lebih bebas melakukan aktiviti. Langkah-langkah preventif yang dinasihatkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) hendaklah senantiasa dipatuhi.

“Rakyat wajib dinasihatkan sama-sama membantu usaha-usaha negara untuk meminimumkan jangkitan dan melindungi negara daripada menghadapi gelombang baharu,” titah baginda.

Sultan Nazrin berharap dengan peralihan itu nanti, rakyat akan dapat menjalani gaya hidup yang normal, kegiatan ekonomi berupaya dirancakkan dan kemakmuran negara kembali pulih di samping rakyat dapat menikmati suasana hidup riang serta sejahtera.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1032
Kongsi :
Previous post Jenazah pesakit COVID-19 kemalangan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu
Next post MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya 2030
Ubah saiz-+=