Sumbang RM1.56 juta untuk perkasa pendidikan

TABOH NANING 7 Julai – Jabatan Pendidikan Negeri menerima sumbangan berjumlah RM1.56 juta daripada Kerajaan Negeri bagi memperhebatkan lagi program persediaan calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sumbangan disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kepada Pengarah Pendidikan Negeri, Ghazali Ahmad pada Majlis Insentif CARE SPM 2023 dan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2022 dan STAM 2022 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM1.41 juta disumbangkan bagi Program Insentif CARE SPM 2023 yang akan memberi manfaat kepada 12,516 calon SPM tahun ini.

Katanya, peruntukan sama juga diagihkan kepada 1,307 pelajar yang menerima Biasiswa Melaka 2023.

“Kerajaan Negeri juga menyumbang sebanyak RM75,000 untuk menganjurkan program motivasi bagi membakar semangat para pelajar.

“Menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) pula Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak RM45,000 bagi program membabitkan pelajar menduduki STAM 2022,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.

Turut hadir, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Datuk Mustafa Musa.

Pada majlis sama Ab Rauf, turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan SPM dan STAM 2022 kepada 264 pelajar.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan sejak tahun 2000, Kerajaan Negeri telah mengagihkan hampir RM11 juta sebagai pemberian bantuan biasiswan bagi membantu pelajar golongan B40 agar tidak keciciran.

“Bagi tahun semasa, kita juga telah memperuntukkan sebanyak RM783,000 bagi bantuan biasiswa ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Previous post El Nino dijangka meningkat hujung 2023 hingga awal 2024 – MetMalaysia
Next post RM300 juta disalur kepada TAPEM sejak tahun 2000