Sorting by

×

Sumbangan tampung belanja persiapan Aidiladha

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

ALOR GAJAH 6 Julai – Pandemik COVID-19 selama dua tahun mengakibatkan ramai terkesan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan bilangan asnaf dan fakir miskin di negeri ini.

Bagi Parlimen Alor Gajah, bilangan penerima sumbangan Aidiladha di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) meningkat kepada 1,129 tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, jumlah tersebut meningkat sedikit kerana ramai kehilangan pekerjaan dan tiada sumber pendapatan akibat pandemik.

Menurutnya, daripada 1,129 orang penerima, 18 orang daripadanya golongan asnaf manakala 1,111 merupakan fakir miskin.

“Mereka ini merupakan penerima bulanan bantuan MAIM dan masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM300 dan RM400 mengikut kategori.

“Melalui sumbangan ini, dapatlah membantu mereka membuat persiapan membeli barangan keperluan bagi menyambut perayaan Aidiladha tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidiladha kepada 200 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin di Masjid Ar-Rasyidin, di sini, 5 Julai lalu.

Ujar beliau, 200 menerima sumbangan secara bersemuka pada majlis itu manakala selebihnya melalui akaun simpanan masing-masing.

Sementara itu, salah seorang penerima, Halimah Ghani, 76, dari Melaka Pindah, meluahkan rasa syukur kerana terpilih menerima sumbangan tersebut.

Katanya, wang tunai yang diterimanya itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan menyambut perayaan Aidiladha bersama keluarga.

“Dapatlah saya beli barang dapur seperti beras dan ayam yang sekarang harganya agak mahal.

“Sumbangan amat bermakna buat saya dan golongan kurang mampu yang lain untuk membeli barang dapur, sebelum ini saya terpaksa catu mana-mana barang untuk dibeli kerana harga mahal,” katanya.

Manakala bagi Zaridah Husin, 48, dia mengambil sumbangan itu sebagai mewakili bapanya, Husin Abdul, 80, kini terlantar sakit di rumah mereka di Kelemak.

“Bapa memang sudah lama mendapat bantuan MAIM setiap bulan dan sudah beberapa kali dapat sumbangan perayaan.

“Melalui sumbangan ini, dapatlah kami lengkapkan keperluan membeli barangan dapur sempena perayaan Aidiladha nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

818
Kongsi :
Previous post Ismail derma darah lebih 78 kali
Next post Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas Timbalan Presiden MIC, S Subramaniam
Ubah saiz-+=