Ismail derma darah lebih 78 kali

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BUKIT PALAH 6 Julai – Menderma darah dengan kekerapan empat hingga lima kali setiap tahun, sudah menjadi kemestian buat Ismail Abdul Hamid, 66, kerana baginya itu adalah satu amal jariah dan usaha menyelamatkan nyawa insan lain.

Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata, dia mula menderma darah pada 1978 iaitu ketika mula berkhidmat bersama PDRM.

Katanya, selepas dipindahkan dari Balai Polis Jalan Semarak ke Balai Polis Cheras, Selangor pada 1990 dia semakin aktif menderma darah.

Dia yang bersara pada tahun 2017 dengan pangkat Koperal tetap meneruskan amalan mulia itu.

“Kalau ikutkan lebih 90 kali saya menderma darah. Ketika mula menderma saya guna buku warna biru tapi sudah hilang dan kini menggunakan buku warna merah dengan jumlah yang direkodkan setakat ini ialah sebanyak 78 kali.

“Saya rasa tidak lengkap kalau tidak menderma darah, umpama tidak senang duduk kalau tidak tunaikan solat, rasa bersalah.

“Malah saya didik tujuh anak untuk menjadikan aktiviti menderma darah sebagai rutin mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Penderma Darah di Hospital Melaka, di sini, 2 Julai lalu.

ISMAIL ketika menerima Anugerah Khas penderma terbanyak dalam Sambutan Hari Penderma Darah peringkat negeri Melaka di Hospital Melaka

Pada majlis ringkas itu Ismail menerima Anugerah Khas kerana menjadi penderma darah paling kerap.

Ismail berkata dia tidak meminta balasan, sebaliknya berharap setiap titisan darah yang didermakan menjadi penyelamat dan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

“Saya harap anak muda diluar sana, jadikan saya sebagai pendorong dan penggalak untuk menderma darah, sesungguhnya setiap titisan darah yang kita dermakan sangat berharga buat mereka yang memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

874
Kongsi :
Previous post ‘Ifedayo tiada dalam perancangan, tapi…’
Next post Sumbangan tampung belanja persiapan Aidiladha
Ubah saiz-+=