Sorting by

×

‘Ifedayo tiada dalam perancangan, tapi…’

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

“IFEDAYO tiada dalam perancangan saya kerana kecederaan dialaminya, tapi dia sendiri menyatakan hasrat mahu beraksi menentang pasukan lamanya Selangor FC”.

Itu kata pengendali sementara Melaka United Mohd Asri Ninggal berhubung status penyerang import Melaka United FC Ifedayo Olusegun yang diturunkan beraksi menentang Selangor FC dalam aksi di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Kehadiran Ifedayo menimbulkan tanda tanya peminat dan pemerhati bola sepak memandangkan dia sebelum ini dikatakan mengalami kecederaan hamstring.

Meskipun begitu, pemain import kelahiran Nigeria itu menjadi watak penting skuad Hang Tuah apabila meledak dua gol untuk membantu pasukan menewaskan Selangor 2-0 di laman sendiri.

Mohd Asri berkata, sebelum Ifedayo diturunkan pada perlawanan itu, pihaknya terlebih dahulu memantau tahap kecederaan dan kecergasannya.

“Jadi apabila dia menyatakan hasrat (bermain), kita beri peluang kepada dia dan dalam sehari dua kita memantau latihan dengan kecederaan dialaminya dan syukur Alhamdulillah, dia berjaya menjaringkan dua gol buat Melaka United,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Mohd Asri mengakui ia cukup manis buatnya dan pasukan memandangkan lawannya yang terkenal dengan jolokan Gergasi Merah itu sebelum ini dianggap antara pencabar utama kejuaraan Liga Super.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada pasukannya.

“Selepas bertemu JDT pada 2 Julai lalu, pemain tidak dapat rehat yang cukup dan terdapat pemain yang cedera juga tidak sembuh sepenuhnya.

“Dan kali ini pada 5 Julai bertemu Selangor FC, kita hanya ada dua hari (untuk mempersiapkan pasukan), namun bermain di laman sendiri memberi kelebihan kerana kita tidak perlu untuk ‘travel’ ke tempat lawan.

“Pemain sudah biasa dengan keadaan di laman dan padang sendiri, jadi ia memang membantu dan memberi kelebihan kepada kita,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1129
Kongsi :
Previous post Bubur pulut hitam durian menu istimewa Rim
Next post Ismail derma darah lebih 78 kali
Ubah saiz-+=