Sungai Rambai jadi pusat penyelidikan, pembenihan hasil laut

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SUNGAI RAMBAI 20 Jun – Kerajaan Negeri bakal membangunkan pusat penyelidikan dan pembenihan hasil ternakan laut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berkata, perkara itu sudah di peringkat perbincangan bersama pihak Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kerajaan Negeri.

Katanya, usaha itu seterusnya bakal mengangkat DUN Sungai Rambai sebagai kampung angkat UPM, sekali gus menjadikannya sebagai Kampung Agropertanian dan Ekopelancongan.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan I-AQUAS untuk mewujudkan pusat penyelidikan dan pembenihan hasil ternakan laut seperti udang, ikan dan ketam di Sebatu.

“Usaha ini juga dapat mewujudkan bidang pertanian menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus di Sungai Rambai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Program Korban dan Kenduri Rakyat 2024 anjuran Japerun Sungai Rambai bersama UMNO Bahagian Jasin di Masjid Al-Mukminun, Seri Mendapat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Jasin, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Dalam pada itu, Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, sebuah perkampungan nelayan baharu juga akan dibangunkan di Sungai Rambai memandangkan kawasan terbabit hanya mempunyai jeti nelayan namun tiada perkampungan nelayan.

“Dalam usaha merealisasikan usaha ini, kita telah memohon untuk menaik taraf perairan di Sungai Kesang,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk membangunkan Sungai Rambai sebagai perairan terbaik di gerbang pintu masuk selatan negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

76
Kongsi :
Previous post 50,000 sudah mendaftar aplikasi KITARecycle
Next post Populariti Fan Bingbing letak Melaka di peta pelancongan dunia
Ubah saiz-+=