
INFRASTRUKTUR KESIHATAN MODEN UNTUK RAKYAT MELAKA
SERI NEGERI 8 Jun – Peruntukan RM1.8 bilion yang dimohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi perancangan pelaksanaan projek pembangunan dan pemodenan infrastruktur kesihatan di negeri ini dijangka akan meningkatkan kapasiti serta kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Melaka.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, perancangan pembangunan infrastruktur diumumkan itu disifatkan mampu memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat apabila siap sepenuhnya kelak.
Beliau berkata, perancangan itu merangkumi pembangunan dan pemodenan kemudahan kesihatan antaranya pembinaan klinik kesihatan (KK) baharu, Hospital Melaka baharu yang juga Hospital Berpakar Jenis 2 serta Blok Wanita dan Kanak-Kanak (WCC).
“Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif ini kerana ia membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan rakyat Melaka menikmati akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, cekap dan selesa.
“Cadangan pembinaan Hospital Melaka baharu di atas tapak seluas 59.8 ekar bakal menjadi pemangkin kepada transformasi sektor kesihatan negeri selain mampu menampung peningkatan jumlah pesakit pada masa hadapan,” katanya.
Hee Sem berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan usaha KKM mempercepatkan pelaksanaan projek WCC yang dilihat mampu menangani isu kesesakan di Hospital Melaka, khususnya melibatkan perkhidmatan kesihatan wanita dan kanak-kanak.
“Penyegeraan projek WCC amat penting kerana ia bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan tetapi meningkatkan keupayaan hospital dalam mengendalikan kes-kes melibatkan wanita dan kanak-kanak secara lebih berfokus.
“Ini selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) dalam memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan selesa,” katanya.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi itu akan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai antara hab perkhidmatan kesihatan utama negara selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan yang semakin berkembang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

