Suri rumah rugi RM7,000, barang kemas dicuri

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

JASIN 12 Julai – ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

Itu nasib dialami seorang suri rumah di Taman Desa Air Merbau, dekat sini, apabila diperdaya seorang lelaki berpura-pura ingin membantu, sebelum melarikan barang kemas bernilai RM7,000 miliknya, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, terdahulu polis Jasin menerima laporan kejadian daripada mangsa berusia 54 tahun itu pada jam 10.20 malam.

“Siasatan mendapati modus operandi kes ini adalah suspek berkenalan dengan mangsa melalui aplikasi Tik Tok sejak dua minggu lalu dan  menjanjikannya bantuan keperluan rumah.

“Suspek kemudian datang ke rumah mangsa untuk membawanya keluar membeli barang keperluan di pasar raya pada jam 11 pagi, hari sama.

“Bagaimanapun, suspek membuat helah dengan masuk ke rumah mangsa dan mencuri barang kemas miliknya dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, statistik menunjukkan dari 1 Januari hingga hari ini, terdapat dua kes seumpamanya dilaporkan di Melaka.

“Memandangkan negara sedang mengalami pandemik COVID-19 ada kumpulan individu yang mengambil kesempatan menghubungi atau datang ke rumah mangsa.

“Suspek berpura-pura ingin memberikan bantuan seperti ini tetapi memperdaya dan mengambil kesempatan melakukan jenayah curi atau samun ke atas mangsa,” katanya.

Justeru polis katanya, menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan mendapatkan bantuan mengikut saluran betul iaitu daripada jabatan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.

“Jangan sesekali memberikan butiran peribadi seperti nama dan alamat melalui media sosial kepada individu yang diragui,” katanya.

Beliau berkata, polis memandang serius ke atas kes penyamaran dan melakukan jenayah seperti ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pesalah yang terlibat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Sjn Muhamad Fadzlan di talian 018-3511594 bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1054
Kongsi :
Previous post Polis siasat patung cetus provokasi
Next post JIM cekup 9,241 pendatang tanpa izin sejak awal tahun ini
Ubah saiz-+=