Syabas dan tahniah MHI! – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

LENDU 12 Feb – “Syabas dan tahniah diucapkan kepada akhbar Melaka Hari Ini (MHI) atas rasa tanggungjawab dan inisiatif membantu anak-anak kita daripada keciciran dalam pelajaran khusus ketika suasana pandemik ini ketika ini,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, demikian ketika memuji keprihatinan pengurusan media rasmi kerajaan negeri itu yang bukan saja mementingkan elemen perkongsian maklumat terkini malah kini turut bersama-sama mahu memperkasakan lagi mutu pendidikan di negeri ini.

Katanya, meskipun berdepan kesukaran akibat pendemik COVID-19 MHI tetap menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan jayanya.

“Kita sudah dimaklumkan awal bahawa akhbar ini akan menyiarkan sisipan soalan buat pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Alhamdulillah ia telah pun dilaksanakan.

“Program seperti ini juga bukan difokuskan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu namun ia juga akan diperluaskan melibatkan DUN lain di negeri ini,” katanya kepada MHI.

Terdahulu, Sulaiman menyempurnakan Program Penyerahan Buku Didik Smart A+ DUN Lendu kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, SMK Ghafar Baba, SMK Hang Kasturi dan SMK Sungai Udang, disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MHI, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Setiap sekolah menerima agihan sebanyak 125 naskah Buku Didik Smart A+ yang amat membantu calon SMP melakukan latih tubi dan pecutan akhir sebelum menduduki SPM awal Mac ini.

Sulaiman berkata, sesi pembelajaran ketika ini juga amat mencabar kerana pelajar dan guru tidak dapat bersemuka secara kerap berikutan penularan pendemik COVID-19.

Buku Didik Smart A+ merupakan kompilasi soalan-soalan terpilih subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah yang disediakan guru-guru Kelab Ibu bapa Guru Islam Melaka (KIBGIM).

Untuk rekod, SMART A+ merupakan antara kolum mingguan yang terkandung dalam akhbar MHI.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

827
Kongsi :
Previous post Buku Didik Smart A+ terbukti berkesan bantu pelajar SPM
Next post PRN Johor: PAS nafi tak puas hati pembahagian kerusi
Ubah saiz-+=