Syarikat korporat, agensi kerajaan diminta tampil bantu asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MERLIMAU 18 Disember – Lebih banyak syarikat korporat serta agensi Kerajaan Negeri diminta tampil menyertai program MyHaus bagi membantu golongan asnaf mendiami kediaman yang lebih selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerjasama yang mantap daripada pelbagai pihak dapat membantu merealisasikan impian kumpulan sasar itu.

Beliau berkata, program MyHaus terbahagi kepada beberapa kategori antaranya membina semula rumah baharu dan membaiki pulih rumah serta membaiki kerosakan rumah berdasarkan kepada ketetapan.

“Program MyHaus ini adalah kerjasama antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Berkat dengan kerjasama yang mantap antara agensi persekutuan dan negeri kita berjaya membantu keluarga yang memerlukan.

“Kita mengharapkan lebih banyak lagi syarikat korporat yang akan bersama kita ke arah kebaikan dan membantu golongan yang memerlukan.

“Ini adalah program kali ketiga selepas Kelantan dan Pulau Pinang. Ia akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Program MyHaus 2021 di Batu Gajah, hari ini.

IMG_20221218_135653_506
JASIN 18 DISEMBER 2022. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan My Haus Rumah Asnaf di Jalan Merlimau Pasir, Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin. Foto: MR. AZLI

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

Menurut beliau, beberapa syarikat milik Kerajaan dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) telah bekerjasama dalam menjayakan program MyHaus ini iaitu Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyumbang RM1.36 juta.

“Kita di peringkat Persekutuan akan bantu selaras, seragamkan dan menyokong segala agenda Islam untuk memartabatkan Islam serta membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2269
Kongsi :
Previous post MAIM komited bantu baik pulih rumah asnaf
Next post Banjir kilat di LPT2 akibat limpahan air cerun
Ubah saiz-+=