MAIM komited bantu baik pulih rumah asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

MERLIMAU 18 Disember – Sejumlah RM524, 480 dibelanjakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menambah baik rumah asnaf sehingga pertengahan Disember ini.

Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, selain peruntukan dibawah MAIM, agensi itu turut mendapat bantuan pembaikan rumah melalui Program MyHaus JAWHAR.

Beliau berkata, pada 2021 sejumlah RM105,000 peruntukan diterima MAIM daripada JAWHAR melalui wakalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membaik pulih tiga kediaman asnaf di Melaka.

“Dengan peruntukan itu MAIM telah menyempurnakan amanah ini dengan membaik pulih tiga buah rumah asnaf dengan setiap satu berjumlah RM35,000 masing-masing di daerah Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah.

“Sehubungan itu kami amat mengharapkan agar bantuan pembaikan rumah asnaf melalui Program MyHaus JAWHAR ini dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa bagi menyantuni asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program MyHaus 2021 yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, di Batu Gajah, hari ini.

2F883A99-207E-47B1-947F-D6271849109F
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud berucap pada Majlis Penyerahan My Haus Rumah Asnaf di Jalan Merlimau Pasir, Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin. Foto: MR. AZLI

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Selamat Paigo; Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat.

Md Rawi berkata, MAIM amat komited dalam membantu umat Islam di Melaka terutamanya asnaf dengan menggunakan peruntukan wang zakat dan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Sehingga bulan November 2022, asnaf fakir, miskin dan mualaf MAIM direkodkan seramai 7,749 orang termasuk seramai 1,547 dari daerah Jasin.

“MAIM mengambil langkah proaktif dengan menambah baik skim bantuan sedia ada antaranya dengan meningkatkan jumlah Skim Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Sewa Kediaman, Bantuan Bina Rumah dan Bantuan Haemodialisis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1935
Kongsi :
Previous post Tanah runtuh: Operasi SAR sembilan mangsa diteruskan
Next post Syarikat korporat, agensi kerajaan diminta tampil bantu asnaf
Ubah saiz-+=