Tabika KEMAS Autisme Melaka bermula awal tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 7 Julai – Melaka bakal menjadi negeri perintis kewujudan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Autisme pertama di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) apabila ia dijangka direalisasikan awal tahun depan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, untuk permulaan, satu tabika KEMAS autisme akan ditempatkan di setiap daerah.

Jelas beliau, buat masa ini, KEMAS Negeri Melaka sedang dalam fasa melatih guru-guru yang akan ditempatkan di tabika berkenaan bagi memberikan pendidikan kepada anak-anak istimewa di negeri ini.

“Seperti mana yang kita maklumkan sebelum ini, Melaka merupakan negeri perintis kewujudan satu daerah, satu Tabika KEMAS untuk anak-anak autisme.

“Lokasi tabika berkenaan kita sudah kenal pasti namun ia akan diumumkan nanti kerana fokus utama kita pada masa ini adalah melatih guru-guru bersesuaian untuk anak-anak berkeperluan khas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Festival Kesenian Islam (FKI) Anjuran KEMAS Negeri Melaka Tahun 2024 di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia Zairuddin Mat Zuini; Pengarah KEMAS Negeri Melaka Asri Saleh; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad Nasrul Ahmad dan lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, apabila beroperasi kelak, Tabika KEMAS Autisme itu akan akan memberi keutamaan kepada anak-anak dalam kalangan keluarga B40 di negeri ini.

Katanya, langkah itu bagi meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak istimewa mereka ke sekolah khas bagi mendapatkan pendidikan dan terapi khas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

178
Kongsi :
Previous post Melaka perluas program berlandaskan nilai Islam – KM
Next post Bila Larut Malam: Zoo Melaka pentingkan keselamatan, keselesaan pengunjung
Ubah saiz-+=