Sorting by

×

Taburan bunga, dijamu manisan tanda kesyukuran ketibaan jemaah Malaysia di Makkah

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MAKKAH, 10 Jun – Disambut dengan taburan bunga mawar, alunan doa dan dihidangkan dengan pelbagai jenis manisan serta air zam-zam.

Ia merupakan momen yang akan menjadi kenangan manis buat kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Makkah malam tadi dan diberikan sambutan meriah di bangunan Abraj Al Janadriyah yang merupakan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) serta hotel penginapan jemaah di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ketibaan seramai 295 jemaah itu disambut meriah, bukan sahaja oleh pihak pengurusan Lembaga TH tetapi juga Syarikat Tewafah Asia Tenggara yang terlibat secara langsung dalam pergerakan jemaah haji Malaysia.

“Kesemua jemaah ini merupakan kumpulan pertama yang bergerak dari Madinah dan mereka yang bertolak kira-kira pukul 2 petang tadi (waktu Arab Saudi), selamat tiba pada pukul 10 malam.

“Alhamdulillah jemaah haji disambut baik dengan aturan dan persediaan yang dibuat oleh TH dan Syarikat Tewafah Asia Tenggara. Ia menunjukkan kerjasama baik antara kedua-dua pihak dalam menyantuni tetamu Allah pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Datuk Seri Syed Saleh berkata setiap jemaah yang baru tiba di Makkah, sama ada pada waktu siang ataupun malam, akan diberi layanan istimewa oleh Syarikat Tewafah Asia Tenggara dengan hidangan nasi beriani bersama pelbagai minuman.

Lebih istimewa, makanan tersebut akan dihantar terus ke bilik masing-masing bagi membolehkan jemaah berehat seketika sebelum mengerjakan umrah, kira-kira dua jam selepas ketibaan.

Sementara itu, Pengerusi Syarikat Tewafah Asia Tenggara Adnan Husin Abdullah Mandura berkata pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan kedatangan jemaah haji kali ini sangat istimewa setelah tertunda hampir dua tahun akibat pandemik.

Katanya, bagi memastikan jemaah Malaysia dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna, pihaknya akan menyediakan pelbagai keperluan serta mengatur persiapan dengan lebih tersusun.

“Kita berusaha memberi perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji Malaysia dan menjaga hubungan baik dengan TH…Insya-Allah kita akan sediakan perkhidmatan kepada jemaah haji ke arah untuk mendapatkan haji yang mabrur.

“Pihak syarikat dan semua petugas akan bekerja keras memberi perkhidmatan terbaik pada tahun ini setelah terhenti akibat wabak COVID-19…pihak kami mengalu-alukan kedatangan dan berdoa supaya jemaah peroleh haji yang diterima Allah,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1163
Kongsi :
Previous post KM lawat destinasi ‘ole-ole’ Pekanbaru
Next post Wanita yang ditemukan mati dibunuh, dibakar tidak hamil seperti didakwa – Polis
Ubah saiz-+=