Tahniah Universiti Geomatika Malaysia dapat status universiti penuh

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Pertukaran status daripada kolej universiti kepada universiti swasta yang disahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 23 September 2021 membuktikan Universiti Geomatika Malaysia (UGM) kekal relevan.

Canselornya, Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Asmah Abdul Rahman berkata, menerusi status penuh itu universiti berkenaan kini mengorak langkah ke hadapan untuk melahirkan ramai graduan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.

Katanya, sebagai Canselor UGM, beliau melahirkan rasa bangga dan berbesar hati kerana melakar sejarah tersendiri selepas diiktiraf status itu menerusi Majlis Istiadat Konvokesyen ke-15 pada kali ini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi Tahniah di atas usaha keras Presiden Kumpulan Pendidikan Geomatika, Profesor Datuk Sr Dr Mohaizi Mohamad dan seluruh warga UGM.

“Diharap selepas ini lebih banyak kejayaan lain yang dapat dicapai oleh UGM seterusnya menaikkan imej universiti ini di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Istiadat Konvokesyen Universiti Geomatika Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Hadir sama pada istiadat berkenaan, Naib Canselor, Prof Dr Ismail Omar dan Presiden Kumpulan Geomatika, Prof. Datuk Sr Dr. Mohaizi Mohamad, Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Wira Zainal Hussin dan Timbalan Pengerusi Yayasan DMDI, Prof. Datuk Wira Dr. Jamil Mukmin.

Istiadat Konvokesyen kali ke-15 2022 Universiti Geomatika Malaysia (UGM), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada masa sama, Asmah turut melahirkan rasa bangga melihat perkembangan UGM yang kini mempunyai beberapa cawangan pusat pengajian di Melaka, Pulau Pinang dan dua institusi di Sabah iaitu Kota Kinabalu dan Keningau.

“Geomatika juga mempunyai pusat-pusat pembelajaran di luar negara seperti di Turkey, Libya, Arab Saudi dan beberapa negara lain malah banyak kerjasama yang UGM jalankan di peringkat dalam dan luar negara.

“Saya yakin, para graduan yang dilahirkan di Universiti ini telah melalui proses transformasi pembelajaran yang sempurna di mana, pelajar tidak hanya diajar untuk memahami teori semata-mata, tetapi turut disertakan dengan kemahiran amali dan praktikal selaras dengan keperluan di dalam industri sendiri,” katanya.

Terdahulu, istiadat konvokesyen hari ini meraikan seramai 800 pelajar daripada pelbagai kursus pengajian melibatkan graduan sarjana dan kedoktoran, sarjana muda, diploma serta sijil dan asasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4134
Kongsi :
Previous post PM ucap tahniah kepada skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023
Next post Saya hanya jurulatih ‘kecil’ – Pan Gon
Ubah saiz-+=