
TAK SEMPAT ‘EKSPORT’ DADAH KE LUAR NEGARA, EMPAT LELAKI DICEKUP POLIS
AYER KEROH 3 Mei – Empat lelaki termasuk seorang remaja dicekup polis selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sebuah rumah di Taman Krubong Perdana, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kontinjen Melaka bersama BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.
Katanya, kejayaan menahan empat suspek berusia 19 hingga 50 tahun itu adalah hasil maklumat awam dan risikan dijalankan pihaknya.
“Hasil pemeriksaan di rumah yang diewa suspek, kami turut menemukan dadah jenis syabu dianggarkan seberat 10,000 gram.
“Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM320,000 dan dipercayai untuk pasaran luar negara selain ia mampu digunakan untuk 33,333 penagih dadah.
“Siasatan lanjut dijalankan juga mendapati sindiket ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah ini sejak Januari lalu,” katanya.
Menurut Christopher, dengan tertangkapnya kesemua suspek polis percaya dapat menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini.
“Ketika serbuan itu juga pasukan polis turut menyita harta milik kesemua suspek antaranya sebuah kereta dan tiga buah motosikal yang kesemunya dianggarkan bernilai RM59,000.
“Ujian saringan air kencing dilakukan turut mendapati keempat-empat suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah manakala lelaki berusia 50 tahun didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.
Jelasnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 8 Mei ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.