Takraw: Akramuddin umum tidak pertahan jawatan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 9 Feb – Datuk Akramuddin Abdul Aziz mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang disandangnya selama sembilan tahun.

Sebaliknya kata beliau, keputusan itu bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk memegang jawatan tersebut sekali gus menerajui PSM untuk masa-masa akan datang.

“Saya telah buat ketetapan dan ambil keputusan tidak kekalkan jawatan saya selaku Timbalan Presiden PSM bagi beri peluang kepada muka baharu menerajui PSM.

“Insya-Allah saya akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dipilih pada mesyuarat agung tahunan (AGM) PSM yang dijadual pada 12 Feb nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) pada majlis Makan Malam dan meraikan kemenangan pasukan Melaka Titans merangkul gelaran juara Sepak Takraw League (STL) Divisyen 1 baru-baru ini.

Pada masa yang sama, kata Akrammudin, beliau tidak akan berhenti menyumbang keringat dan idea demi meningkatkan mutu dan kualiti sukan sepak takraw negara pada masa depan.

“Jika khidmat saya diperlukan, saya akan terus tabur bakti kepada PSM kerana saya tidak penting, apa yang penting PSM akan terus berada pada tahap yang membanggakan.

“Sudah 9 tahun saya bersama PSM dan saya rasa cukuplah setakat ini… saya mahu berehat dahulu, insya-Allah saya akan terus bersama PSM dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Katanya, walaupun tidak berada dalam PSM, beliau sedia menggunakan segala pengalaman selama 22 tahun dalam sukan sepak takraw bagi membantu meningkatkan kualiti sukan itu.

Ujarnya lagi, beliau sudah memikirkan tentang keputusan itu sebaik sahaja Melaka Titans dinobatkan juara STL baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) berkata keputusan itu juga membolehkan dirinya menumpukan usaha dalam pencapaian Melaka Titans menguasai Liga Premier akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1650
Kongsi :
Previous post Annuar Musa Ucap Selamat Hari Pers Nasional 2022
Next post Kabinet setuju beri subsidi ayam, telur kepada penternak
Ubah saiz-+=