Tambah peguam syarie, tingkat kualiti Mahkamah Syariah

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Jumlah peguam syarie bertauliah sedia ada akan terus ditambah bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmat undang-undang Mahkamah Syariah di Negeri Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagi tahun ini bilangan peguam syarie di Negeri Melaka menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus.

“Bertemakan ‘integriti’, ia bertepatan dengan peranan institusi guaman yang dekat dengan anak guamnya dalam menegakkan keadilan. Setiap peguam memikul tanggungjawab dan amanah besar dalam menjaga kerahsiaan maklumat anak guam daripada pihak-pihak tidak sepatutnya.

“Sehingga 30 April lalu Mahkamah Syariah Negeri Melaka merekodkan sebanyak 5,233 kes didaftarkan dan sehingga kini telah berjaya menyelesaikan sebanyak 3,954 kes,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Abdul Aziz Engan serta Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Yang turut hadir, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Mohd Yunus Mohamad Zin.

Pada majlis itu seramai 69 Peguam Syarie terdiri daripada 27 lelaki dan 42 peguam syarie perempuan menerima tauliah masing-masing.

Sementara itu lima tauliah khas turut diberikan kepada tiga pegawai Bahagian Sokongan Keluarga di Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan dua pegawai di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri amat mengutamakan mutu dan kualiti pengadilan oleh pihak hakim.

“Mahkamah syariah dan peguam syarie perlu bekerjasama agar dapat membantu dan memastikan pihak terlibat memperoleh proses pengadilan dan kehakiman yang tepat serta keputusan pengadilan yang telus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

31
Kongsi :
Previous post Perkasa misi pembangunan eko lestari di Jasin
Next post ATM sahkan anggota Malbatt meninggal dunia di Lubnan akibat serangan jantung
Ubah saiz-+=