Sorting by

×

Tambang komuter percuma sebulan laluan Lembah Klang mulai hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Penumpang KTM Komuter laluan Lembah Klang boleh menikmati perkhidmatan itu secara percuma selama sebulan bermula hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika mengumumkan berita gembira itu, beliau berkata selain mengurangkan kos hidup rakyat, pemberian tambang percuma juga bertujuan mengurangkan kesesakan jalan awam.

“Seperti saya umumkan, kerajaan akan berikan tambang percuma selama sebulan untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian RapidKL.

“Selain RapidKL, KTM Komuter di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) laluan Lembah Klang juga akan dapat tambang percuma selama sebulan,” katanya pada sidang media selepas menaiki Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Sri Damansara Sentral di sini hari ini.

Terdahulu, ketika berucap melancarkan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen Kampung Batu, Ismail Sabri mengumumkan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL merangkumi MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Bas (BRT), monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

Menjelas lanjut, Perdana Menteri berharap pengguna akan menggunakan pengangkutan awam bukan hanya sepanjang tempoh pemberian tambang percuma, tetapi setiap masa kerana ia dapat menjimatkan masa perjalanan ke sesuatu destinasi.

Beliau berkata kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM155 juta untuk pemberian tambang percuma masing-masing RM140 juta untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah RapidKL dan RM15 juta bagi KTM Komuter laluan Lembah Klang.

Ditanya jika kerajaan akan memberikan harga istimewa bagi tambang pengangkutan awam selepas tambang percuma tamat, Ismail Sabri berkata ia akan diputuskan selepas tempoh sebulan berakhir.

Mengenai status MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua, Ismail Sabri berkata pembinaannya kini pada tahap 98.3 peratus dan dijangka boleh dilancarkan pada Januari atau Februari tahun depan.

MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu.

Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk Pusat Bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1340
Kongsi :
Previous post SPM: 257 calon peroleh semua A di Melaka
Next post Suspek kes rogol 19 tahun lepas dibebaskan dengan jaminan polis
Ubah saiz-+=