Tampil lebih sopan, peserta berkain pelikat tendang bola
RIM 16 Ogos – Jika sebelum ini kain pelikat digunakan kaum lelaki ketika berada di rumah atau ke masjid, namun berbeza pula bagi penduduk di Kampung Kelubi yang menggunakan pakaian itu ketika mengambil sepakan penalti.
Pelbagai ragam dan aksi mencuit hati dapat disaksikan sepanjang Pertandingan Sepak Penalti Berkain Pelikat Kampung Kelubi 2023 sempena Sambutan Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Lanang, di sini, pada Sabtu.
Pertandingan itu dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kelubi dan Brotherhood Kelubi.
Ahli Jawatankuasa JPKK Kelubi, Nasaruddin Rahmat berkata, peserta disyaratkan memakai kain pelikat bagi mengambil sepakan penalti.
“Sudah lima tahun kita anjurkan sukan unik ini. Memang meriah, tahun ini peserta seramai 60 orang berusia 16 hingga 61 tahun.
“Peserta memakai kain pelikat kelihatan lebih sopan ketika menendang bola kerana pergerakan jadi lebih terhad.
“Setiap peserta dikenakan yuran RM5, bagi yang menang mereka ini membawa pulang pelbagai hadiah termasuk wang tunai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hadir sama menyaksikan pertandingan itu adalah Pengerusi JPKK Kelubi, Samat Majid.
Katanya, pertandingan itu bukan sekadar untuk berhibur dan beriadah sebaliknya mengeratkan hubungan silaturahim tanpa mengira usia.
“Kita mahukan kebersamaan dan semangat perpaduan tidak mengira usia, sama ada golongan tua atau muda semua ada kelebihan masing-masing.
“Kalau kita tengok senario hari ini banyak berlaku perpecahan atas pelbagai faktor, tetapi apabila ada program begini mereka (peserta) dapat bekerjasama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.