Tanah runtuh di MACA: Masih berlaku runtuhan kecil – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 26 April – Polis mengesahkan terdapat runtuhan kecil yang masih berlaku di kawasan tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata terdapat beberapa runtuhan dipercayai berlaku pada 10 malam dengan sedikit pergerakan tanah mengenai kawasan pagar Institut Integriti Malaysia (IIM).

Beliau berkata operasi masih diteruskan hari ini dengan bantuan beberapa pasukan teknikal iaitu Jabatan Mineral dan Geosains, Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Jadi kita melihat dan mendapati masih berlaku runtuhan dan hakisan tanah di tempat runtuhan, sekadar menutup dengan kanvas mungkin tidak dapat mengurangkan risiko bahaya.

“Kita sedang berbincang untuk memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM) dan MACA daripada terus terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beh berkata polis percaya antara faktor insiden tanah runtuh ini ialah disebabkan terdapat aliran air yang ditemui semalam dan takungan air atau mendapan.

“Perbincangan akan dijalankan bersama pasukan teknikal bagi proses pemasangan cerucuk besi di kawasan runtuhan pada 3 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

“Kami akan bincang sebentar lagi dan apakah hasil mesyuarat serta bila boleh dilaksanakan (pemasangan cerucuk besi) akan dimaklumkan pada satu sidang media yang dijadualkan pada 5.30 petang ini,” katanya.

MACA telah mengosongkan seluruh kawasan akademi itu dengan memindahkan seramai 45 individu susulan kejadian tanah runtuh di pintu masuk utamanya pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1323
Kongsi :
Previous post SENARAI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KERAJAAN NEGERI MELAKA (MENGIKUT PARLIMEN) – Dikemaskini 26 April 2023
Next post Korban raya pagi Syawal demi tugas
Ubah saiz-+=