Korban raya pagi Syawal demi tugas

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 26 April – Menggalas tanggungjawab bekerja di pagi Syawal sudah menjadi kelaziman buat anggota polis trafik demi memastikan Op Selamat berjalan lancar sepanjang tempoh cuti raya setiap tahun.

Bagi Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Inspektor Mohd Marzooki Abd Patah,37, sepanjang 13 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dia sudah biasa dengan situasi tidak pulang berhari raya bersama keluarga.

Katanya, meskipun sayu di sudut hati kerana tidak dapat bersama keluarga meraikan Syawal, namun demi tanggungjawab dia terpaksa berkorban untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Paling sayu apabila teringat masakan emak di pagi Syawal, tapi tidak mengapa bila sudah dapat cuti selepas seminggu raya emak tetap akan masakkan makanan kegemaran saya seperti lontong dan kuah kacang.

“Pagi raya pertama itu saya akan hubungi mak dan ayah untuk ucapan hari raya dan bermaaf-maafan, biarpun jauh di mata namun mereka tetap dekat di hati saya,” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

WhatsApp Image 2023-04-26 at 3.09.43 PM
MOHD Marzooki

Katanya, pada awal perkahwinan isterinya agak kekok kerana tidak dapat balik beraya sebagaimana saban tahun terdahulu, namun lama-kelamaan perkara itu sudah menjadi kebiasaan.

“Orang rumah saya pun sudah memahmi sebab dia pun kerja sebagai peguam, mula-mula agak kekok tidak dapat beraya tapi lama-lama dia (isteri) dah mula faham tugas saya.

“Lepas seminggu raya barulah kami akan pulang ke kampung, biarpun pada waktu itu semua orang sudah mula bekerja,” katanya.

WhatsApp Image 2023-04-26 at 3.09.44 PM (1)
MUHAMMAD Rejab

Bagi anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Lans Koperal Muhammad Rejab Zulhisham,29, keselamatan pengguna jalan raya sewaktu musim perayaan adalah menjadi keutamaannya sejak bertugas dalam agensi penguatkuasaan itu.

“Sepanjang empat tahun berkhidmat sebagai anggota trafik, memang saya tak pernah balik beraya di Selangor, biasanya lepas seminggu raya baharu dapat cuti itu pun bergantung pada keadaan, jika terlalu sibuk saya tak balik beraya.

“Bila jadi anggota polis ini bagi saya tanggungjawab kita lebih penting di jalan raya, sebab waktu beraya, kenderaan memang padat atas jalan, jadi sebagai anggota bertanggungjawab kita kena pantau.

“Isteri pun sudah faham tugas saya, lagipun kampung dia di Melaka sahaja, saya pula pagi Syawal akan hubungi mak dan ayah untuk bermaaf-maafan, Alhamdulillah mereka memang faham kerjaya saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1191
Kongsi :
Previous post Tanah runtuh di MACA: Masih berlaku runtuhan kecil – Polis
Next post Panggilan video selamatkan suami dalam kejadian rompakan pelantar minyak di Pasir Gudang
Ubah saiz-+=