Tanah runtuh: Saksi dengar bunyi kuat sebelum lihat tapak khemah ditimbus tanah

BATANG KALI, 16 Dis – “Saya dengar bunyi kuat seperti guruh sebelum melihat tapak perkhemahan Zone A ditimbus tanah,” kata seorang saksi kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini awal pagi tadi.

Mangsa Teh Lynn Xuan, 22, berkata dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu beliau baru hendak melelapkan mata untuk berehat selepas melakukan aktiviti pada malam tersebut.

Katanya sebelum kejadian, beliau bersama kira-kira 21 lagi saudara dan sahabat handai dari Melaka, Selangor dan Singapura sudah berada di tapak perkhemahan berkenaan sejak tiga hari lepas sempena cuti sekolah.

Teh berkata ketika kejadian khemah yang beliau diami bersama ibunya di Zone B Hill Top telah terbalik namun bernasib baik kerana berjaya menyelamatkan diri dan beredar ke kawasan yang tinggi.

“Semua berlaku dengan amat pantas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Polis Hulu Yam Bharu, dekat sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa Leong Jim Meng, 57, berkata sebelum kejadian beliau dapat merasakan kawasan di tapak perkhemahan itu bergegar disusuli bunyi kuat.

“Saya dan keluarga terperangkap kerana khemah kami ditimbus dengan tanah tetapi kami berjaya keluar dan pergi ke kawasan letak kereta berhampiran sebelum menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali dengan nama Lee, 28, berkata ketika kejadian, hujan renyai berlaku.

Menurut Lee, beliau menyedari kejadian itu selepas mendengar bunyi kuat selain melihat tanah runtuh berdekatan dengan khemahnya.

“Saya lihat tapak khemah di Zone A telah ditimbus dengan tanah runtuh, saya pergi ke kawasan berkenaan untuk cuba mencari sesiapa yang selamat dan berjaya menarik keluar dua orang, seorang kanak-kanak dan ibunya,” kata Lee.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata sembilan orang disahkan maut setakat 11 pagi ini.

Beliau berkata setakat ini 53 mangsa telah dibawa keluar dari kawasan kejadian dan tujuh individu yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan Hospital Sungai Buloh manakala mayat mangsa yang terkorban dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi bedah siasat.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Previous post 62 tahun MAIM kekal relevan
Next post Angka kematian meningkat kepada 11 orang, 23 masih hilang – Saifuddin Nasution