Sorting by

×

Tanjung Tuan dijadikan destinasi eko pelancongan terbaharu

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TANJUNG TUAN 12 Mac – Hutan Rekreasi Tanjung Tuan bakal dinaik taraf sebagai lokasi eko pelancongan terbaharu di negeri ini seiring dengan Dasar Pelancongan Negara.

EXCO Pelancongan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, antara perancangan bakal dilaksanakan adalah tapak ‘glamping’ bagi menarik lebih ramai peminat aktiviti itu berkunjung ke Tanjung Tuan.

Katanya, pembangunan bakal dijalankan memberi penekanan kepada konsep binaan yang tidak kekal dan selamat bagi memulihara habitat serta ekologi di hutan berkenaan.

“Dengan ketinggian kira-kira 500 meter dari paras laut, Tanjung Tuan adalah antara puncak tertinggi di Melaka yang kaya dengan pelbagai khazanah dan tinggalan semula jadi.

“InsyaAllah kita akan bangunkan aktiviti ‘glamping’ seperti di Pulau Nangka dan Pulau Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Memerhati Burung Pemangsa ‘Raptor Watch’ 2022 diadakan di Rumah Api Tanjung Tuan, di sini, hari ini.

Tambahnya, pembangunan di Tanjung Tuan tidak akan membabitkan pembinaan bangunan kekal yang dikhuatiri  menjejaskan usaha pemuliharaan alam semula jadi.

“Apabila dibangunkan kita tidak mahu ada jalan berturap, biarlah kekal dengan jalan tanah merah, selain tapak ‘glamping’ akan menekankan konsep solar.

“Kita akan bangunkan selaras dengan Dasar Pelancongan Negera iaitu memperkasa eko pelancongan yang menekankan pelancongan tidak melibatkan kerosakan ekosistem dan ekologi sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani berkata, rumah api di kawasan itu juga akan dibangunkan dengan tarikan baharu.

Dia memberitahu, usaha mempromosikan rumah api pertama dibina di Tanah Melayu itu akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia.

“Mengikut perancangan kita akan perkenalkan galeri sejarah menerangkan mengenai  bagaimana terbinanya rumah api ini pada tahun 1817,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2221
Kongsi :
Previous post Sudah lima hari, 28 mangsa banjir di Sungai Rambai masih di PPS
Next post COVID-19 tak halang KAYM anjur pilihan raya kampus
Ubah saiz-+=