TAPEM teruskan agenda perkasa sistem pendidikan Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MASJID TANAH 18 Jun – Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) sudah membelanjakan sebanyak RM300 juta sejak tahun 2000 dalam usaha kearah meningkatkan kualiti pendidikan anak Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perbelanjaan itu adalah untuk menjayakan pelbagai aktiviti yang memberikan faedah kepada murid, pelajar dan memperkasa sistem pendidikan negeri ini.

“Pada tahun ini sahaja, kerajaan negeri menerusi TAPEM menyediakan RM500,000 seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022, peruntukan itu disalurkan dalam bentuk bantuan persekolahan sekolah rendah dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 seorang.

“Setakat ini peruntukan berkenaan memberi manfaat kepada 2,500 pelajar daripada 241 buah sekolah di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam enam Parlimen di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka Sesi 2022 Fasa Ke-2 Parlimen Masjid Tanah di JAPERUN Lendu.

Hadir sama, Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah, ADUN Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin dan Pengurus Besar TAPEM, Datuk Mustafa Musa.

Dalam pada itu, bagi fasa pertama Februari lalu seramai 354 murid daripada 38 buah sekolah dalam Parlimen Masjid Tanah telah menerima bantuan membabitkan peruntukan sebanyak RM70,800.

“Pada Februari lalu kita telah serahkan kepada wakil Guru Besar setiap sekolah dalam Parlimen Masjid Tanah berikutan kekangan pandemik COVID-19 ketika itu.

“Namun hari ini saya berkesempatan menyampaikan secara terus kepada murid terlibat bagi fasa kedua ini yang membabitkan 42 penerima daripada 38 sekolah dalam Parlimen Masjid Tanah.

“Hari ini lengkap 396 murid sekolah rendah menerima bantuan bagi tahun ini yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM79,200,” katanya.

Seramai 42 murid berkenaan menerima baucar pembelian peralatan dan pakaian sekolah daripada pasar raya Mydin bernilai RM200 yang boleh ditebus di mana-mana pasar raya itu di negeri ini sebelum 30 Jun depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1262
Kongsi :
Previous post Pendekkan tempoh kuarantin, atasi masalah kekurangan lembu korban
Next post Bekalan daging mencukupi sempena Aidiladha
Ubah saiz-+=