TAPS Tasik Biru Chin Chin bantu sumber air tambahan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Kerajaan Persekutuan menerusi Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) meluluskan sejumlah RM350 juta bagi pembangunan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Melaka yang akan dibina di Tasik Biru Chin Chin, Jasin.

Selain itu, sejumlah RM150 juta lagi diperuntukkan bagi pembangunan cadangan Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus, Jasin.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kesemua projek itu bakal membantu menyediakan sumber air tambahan sebanyak 310 Juta Liter Sehari (JLH) kepada Negeri Melaka sehingga tahun 2040.

“Cadangan pembinaan TAPS ini adalah menggunakan kolam lombong sedia ada yang terletak di Tasik Biru, kaedah pelaksanaan adalah mendalamkan kolam lombong sedia ada untuk dijadikan kolam takungan (storage reservoir) dengan kapasiti reka bentuk sebanyak 27 juta meter padu (MCM).

“Sumber air bagi kolam takungan ini adalah dari Sungai Kesang, antara komponen utama projek ini melibatkan pembinaan kolam takungan (storage reservoir), barrage, holding pond, inlet structure dan draw-off tower,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) mengenai rancangan menyalurkan air Sungai Kesang sebagai sumber bekalan air mentah Melaka pada hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, bekalan air mentah dari TAPS Melaka di Tasik Biru itu dapat diagihkan ke lima lokasi utama, antaranya Empangan Jus sebanyak 120 JLH, Loji Rawatan Air (LRA) Merlimau Fasa tiga sebanyak 110 JLH, dan LRA Chin Chin Kompak sebanyak 30 JLH.

“Pelaksanaan projek ini berada di peringkat memuktamadkan reka bentuk sebelum ditender. Pengambilan balik tanah projek Pembinaan TAPS Melaka ini telah diwartakan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 pada 1 Jun 2023 dengan Nombor Warta 357.

“Selain itu, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang membangunkan pembinaan Loji Merlimau Fasa 2 bagi tambahan 55 JLH daripada Loji Merlimau 1 sedia ada iaitu 55 JLH.

“Setelah projek siap sepenuhnya sejumlah 110 JLH air mentah daripada Sungai Kesang akan digunakan di loji ini, manakala LRA Merlimau Fasa II dijangka siap sepenuhnya pada September 2023,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

870
Kongsi :
Previous post Projek 1 Kampung, 1 Pantun warnai TMM2024
Next post Sungai Linggi Cruise beroperasi Disember ini
Ubah saiz-+=