Tarikh pendaftaran baharu, kemas kini BKM bermula hari ini hingga 31 Jan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dibuka mulai hari ini hingga 31 Jan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ia bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing dan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat juga berpeluang membuat pengemaskinian.

“BKM pada 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata data penerima BPR 2021, penerima Bantuan Khas COVID (BKC) B40 2021 dan pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan.

Selain itu, data agensi kerajaan lain merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan turut dibawa ke dalam sistem BKM.

Turut akan disemak, kelayakan data Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang.

Pemohon BKM boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik dalam portal rasmi BKM https://bkm.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

653
Kongsi :
Previous post Umrah tangguh: Bakal jemaah dapat bayaran balik atau dijadual semula perjalanan
Next post MOTAC beri 40 peratus diskaun pembayaran kompaun hingga 30 Jun
Ubah saiz-+=