Tawar 500 kerja kosong untuk penduduk kampung

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER LIMAU 25 Mei – Sebanyak 500 jawatan kosong telah ditawarkan buat pencari kerjaya dalam E-Career Fair 1.0 diadakan di Pusat Komuniti Desa Sungai Siput, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, peluang yang ditawarkan itu meliputi pelbagai perjawatan daripada sembilan syarikat dan tiga platform digital terlibat.

Beliau berkata, program yang julung kali diadakan di kawasan luar bandar itu perlu direbut oleh setiap pencari pekerjaan khususnya anak muda dalam mengatasi isu pengangguran.

“Program diadakan ini mampu memberi peluang pemohon mendapatkan pekerjaan dan menambah pendapatan mereka sekali gus menyumbang kepada kestabilan sosio-ekonomi dalam kawasan ini.

“Kita berharap dalam situasi negara yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19 mereka tidak perlu memilih pekerjaan yang ditawarkan kerana pengalaman dalam pekerjaan begitu penting untuk seseorang maju ke hadapan mendapatkan kerjaya yang lebih baik.

“Terima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam menganjurkan program bermanfaat seperti ini dan diharapkan penganjuran ini mampu diteruskan ke kawasan lain dalam DUN ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Pelancaran Pusat Satelit MyFutureJobs diadakan di PKD Sungai Siput, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar.

Sementara itu, Abd Razak berkata, pelbagai langkah akan diambil pihaknya bagi mengurangkan masalah pengangguran di negeri ini.

Ia katanya, termasuklah mengadakan lebih banyak program atau karnival kerjaya secara menyeluruh dari semasa ke semasa.

“Selain itu kita juga akan beri pendedahan kepada orang ramai dalam kepentingan lindungan dari PERKESO terutama bagi yang bekerja sendiri.

“Pendedahan seperti program ‘Return To Work’ banyak memberi manfaat kepada orang ramai bagi memastikan mereka diberi peluang mendapatkan pekerjaan selepas menghadapi kemalangan.

“Pelbagai lagi pendedahan akan diberikan kepada orang ramai selain memfokuskan peluang pekerjaan dalam program yang kita anjurkan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1197
Kongsi :
Previous post Peneroka rugi RM39,000 diperdaya Macau Scam
Next post Harga petrol RON97 naik 37 sen kepada RM4.70 seliter
Ubah saiz-+=