TDM juara Triathlon Tanjung Bidara Challenge, Lokman Hakim atlet terpantas

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

SUNGAI UDANG 23 Disember – Latihan dan tahap kemahiran berbeza dalam setiap pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sama ada darat, laut mahupun udara menjadi cabaran dalam mengharungi Kejohanan Triathlon Tanjung Bidara Challenge 2022.

Bagaimanapun, atas keazaman yang tinggi dalam pasukan, pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya merangkul gelaran juara kejohanan itu dalam kategori antara perkhidmatan ATM.

Pasukan itu mengenepikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan catatan masa 16 jam 18 minit 44 saat bagi keseluruhan peserta yang diperolehi menerusi dispilin berenang, berbasikal dan larian.

Pengurus pasukan TDM, Kapten Muhammad Syafiq Rusli berkata, persediaan 18 atlet dalam kalangan pegawai dan anggota bagi sukan triathlon tidak mudah berikutan memerlukan latihan fizikal yang perlu dilakukan secara berterusan.

“Antara cabaran dalam kejohanan ini adalah bersaing antara TLDM dan TUDM kerana latihan yang dilalui antara kedua-dua pasukan mungkin berbeza dan kami tidak mengenali jenis latihan yang mereka lakukan.

“Sebagai pesaing, kami tidak memandang rendah keupayaan mereka dan strategi kami adalah bekerjasama sebagai satu pasukan sebagaimana diterapkan dalam latihan,” katanya ketika ditemui selepas tamat kejohanan terbabit di Pantai Tanjung Bidara di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pasukannya akan meneruskan cabaran dengan menyertai pelbagai kejohanan triathlon sama ada dianjurkan oleh pihak luar mahupun ATM.

“Kita mahu atlet dalam pasukan mewakili negara dalam Sukan Sea kerana sebelum ini jurulatih kami sendiri pernah mewakili negara Sukan Sea di Filipina,” katanya.

Selain kategori antara perkhidmatan, turut dipertandingkan kategori antara formasi TDM, kategori terbuka lelaki dan wanita serta relay.

Majlis penutup kejohanan itu disempurnakan oleh Ketua Staf MK ATM ganti nama Asisten Ketua Staf Operasi & Latihan (OPLAT) Tentera Darat, Mej Jen Malek Razak bin Sulaiman.

Hadir sama, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim, Pengerusi Sukan Lasak ATM, Kolonel Fazdil Husin

photo_2022-12-23_13-49-24
LOKMAN Hakim (dua dari kanan barisan belakang) yang dinobatkan atlet terpantas dalam Kejohanan Triathlon Tanjung Bidara Challenge 2022 bergambar bersama Ketua Staf MK ATM ganti nama Asisten Ketua Staf Operasi & Latihan (OPLAT) Tentera Darat, Mej Jen Malek Razak Sulaiman (kiri barisan hadapan) dan pemenang lain.

Atlet terpantas bagi kejohanan berkenaan dimenangi Truper Lokman Hakim Razali dari pasukan 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) dengan catatan masa 2 jam 20 minit bagi keseluruhan ketiga-tiga disiplin.

Lokman Hakim berkata, dia gembira kerana berkat usahanya serta tunjuk ajar daripada jurulatih pasukan sejak tiga bulan lalu berhasil meskipun baharu pertama kali menyertai kejohanan berkenaan.

“Antara persediaan saya menghadapi kejohanan ini adalah mengamalkan disiplin yang tinggi selain pemakanan yang betul serta menjalani latihan berterusan.

“Jurulatih banyak main peranan atas kejayaan ini selain abang-abang dalam pasukan yang banyak membantu dan kejayaan ini tidak terhenti di sini, saya akan meneruskan usaha sekiranya diberi tubuh badan yang sihat untuk menyertai kejohanan triathlon di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2166
Kongsi :
Previous post Bekalan telur gred C dijangka kurang menjelang Krismas – Exco
Next post 20 peratus kenderaan di Melaka gagal lepasi piawaian Puspakom
Ubah saiz-+=