Tekan butang kecemasan, polis bertindak dalam tujuh minit

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDA HILIR 16 Mac – Lapan butang kecemasan ‘Emergency Panic Button’ akan dipasang di sekitar kawasan Jonker Walk, di sini, dalam usaha mencegah jenayah di kawasan tumpuan pelancong itu.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, butang kecemasan itu akan segera menghubungkan kepada pihak polis untuk memberi bantuan kepada mangsa sebelum tiba di lokasi dalam masa kira-kira tujuh minit.

Beliau berkata, Jonker Walk menjadi lokasi pertama di Malaysia yang dipasang butang kecemasan ‘Emergency Panic Button’ sekali gus menjadi perintis kepada program ini.

“Sebagai permulaan sebanyak tiga butang kecemasan ini dipasang di sekitar Jonker Walk iaitu di persimpangan Jalan Kasturi/Hang Lekir, bersebelahan A.I Smart Hotel dan Taman Antarabangsa.

“Namun menjelang Jun ini kita sasarkan untuk menambah lagi lima dan menjadikan keseluruhan sebanyak lapan butang kecemasan ‘Emergency Panic Button’ di pasang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Emergency Panic Button Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.

KETUA Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berucap pada Majlis Pelancaran ‘Emergency Panic Button’ di Pentas Jonker Walk, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurut beliau, apabila butang ditekan oleh mangsa atau orang awam yang melihat kejadian tiga elemen akan bertindak.

“Antara elemen yang akan mengambil tindakan adalah Skuad Rondaan Berbasikal Unit Polis Pelancong, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Skuad Taming Sari (STS) menggunakan Scrambler,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, sekiranya pemasangan butang kecemasan ini berjaya pihaknya akan membawa dan mencadangkan kepada Ketua Polis Negara untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1793
Kongsi :
Previous post Mahkamah tinggi semak hukuman kes lelaki tetap kepala, tangan peguam
Next post Larangan import lembu, kerbau dari Thailand ditarik balik – JPV
Ubah saiz-+=